Tuesday, August 3, 2010

Cerpen Gersang


CERPEN GERSANG
Masniah Kalyubi

SINOPSIS
Cerpen “Gersang” karya Masniah Kalyubi memaparkan kisah seorang lelaki tua peminta sedekah yang terjumpa seorang bayi kecil di dalam tong sampah. Bayi itu dinamainya Sumi. Meskipun teramat tua kerana berusia hampir 100 tahun dan bongkok pula, namun naluri kemanusiaannya yang tinggi membuatkannya dia gigih memelihara Sumi dengan penuh kasih sayang. Pada akhirnya, mereka berdua terpaksa hidup bergelandangan kerana gubuk buruk di kawasan setinggan yang mereka diami diruntuhkan untuk tujuan pembangunan.

TEMA
Bertemakan tentang perjuangan hidup seorang lelaki tua yang bergelut dengan penderitaan dalam mencari rezeki untuk meneruskan kehidupan. Lelaki tua itu hanya bergantung pada pendapatannya sebagai peminta sedekah di bandar raya Kuala Lumpur untuk meneruskan kehidupan bersama seorang cucunya yang masih kecil iaitu Sumi.

PERSOALAN
1. Persoalan tentang kemiskinan hidup. Contohnya, datuk tua menyara kehidupan dengan menjadi seorang peminta sedekah dan dia juga tinggal di sebuah gubuk buruk di kawasan setinggan di kota Kuala Lumpur bersama dengan seorang anak iaitu Sumi.
2. Persoalan tentang kasih sayang. Contohnya, datuk tua menjaga Sumi dengan penuh kasih sayang seperti anak kandungnya sendiri dan berusaha untuk membahagiakan Sumi walaupun membesarkannya dengan hanya memberi makan hasil huluran tin susu tuanya.
3. Persoalan tentang pembuangan bayi. Contohnya, Sumi telah dijumpai oleh datuk tua di dalam tong sampah dengan keadaan hanya berbalut dengan lampin.
4. Persoalan tentang ketabahan dalam menempuh dugaan hidup. Contohnya, dalam menghadapi dugaan hidup walaupun gubuk buruk yang didiaminya selama ini bersama Sumi di kawasan setinggan telah dirobohkan.
5. Persoalan tentang kegigihan dalam mencari rezeki. Contohnya, datuk tua yang telah berusia hampir 100 tahun dan bongkok pula masih gigih dalam mencari rezeki demi meneruskan hidupnya dan cucu kesayangannya walaupun pekerjaannya itu hanya mengemis di jalanan.
6. Persoalan tentang keyakinan akan Tuhan. Contohnya, datuk tua yakin bahawa walaupun pekerjaannya kini terjejas akibat gubuk buruknya telah dirobohkan tetapi baginya bumi Allah ini luas dan dia masih boleh meneruskan perjuangan untuk mencari rezeki di mana-mana tempat.
8. Persoalan tentang kemajuan pembangunan. Contohnya, Kuala Lumpur merupakan bandar raya yang sudah mengecapi kemajuan pembangunan sehingga menjadikan tempat tersebut lubuk atau pusat pekerjaan penduduk yang sangat penting. Begitu juga, deretan gubuk buruk yang didiami oleh datuk tua bersama dengan penghuni-penghuni yang lain telah dirobohkan untuk tujuan pembangunan.

WATAK DAN PERWATAKAN

Datuk Tua
1. Watak utama cerita.
2. Berusia menjangkau satu abad iaitu hampir 100 tahun.
3. Badannya kurus dan sudah bongkok. Dia berdiri dan berjalan dengan bantuan tongkat.
4. Tinggal di gubuk buruk di kawasan setinggan di Kuala Lumpur.
5. Seorang peminta sedekah.Contohnya, datuk tua selalu mengemis di kaki-kaki lima bandar Kuala Lumpur.
6. Memelihara seorang anak iaitu Sumi yang telah dibuang oleh ibu bapanya di tong sampah.
7. Seorang yang penyayang. Contohnya, dia menjaga Sumi dengan penuh kasih sayang seperti anak kandungnya sendiri dan berusaha menunaikan permintaan .
8. Seorang yang gigih. Contohnya, meskipun datuk tua sudah teramat tua dan bongkok pula tetapi dia gigih memelihara Sumi dengan penuh kasih sayang dan berusaha mencari mencari rezeki untuk membesarkannya.
9. Seorang tua yang mempunyai naluri kemanusiaan yang tinggi. Contohnya, meskipun datuk tua sudah teramat dan seorang peminta sedekah tetapi dengan naluri kemanusiaan yang ada pada dirinya, dia sanggup memelihara Sumi yang dibuang oleh ibu bapanya di tong sampah.
10. Percaya dan yakin akan Tuhan. Contohnya, datuk tua yakin Tuhan akan sentiasa memberi ruang kepadanya untuk mencari rezeki di mana–mana tempat di bumi ini.


Sumi
1. Berumur lima tahun.
2. Korban kezaliman ibu bapa yang tidak bertanggungjawab. Contohnya telah dibuang oleh ibu bapanya di tong sampah dan telah dijumpai oleh datuk tua dengan keadaan yang hanya berbungkus lampin.
3. Dipelihara oleh datuk tua iaitu seorang peminta sedekah yang sudah berusia.
4. Menyayangi datuk tuanya. Contohnya, semasa gubuk buruk tempat tinggal mereka diruntuhkan, Sumi segera mendapatkan datuk tua kesayangannya walaupun sedang sakit. Dia tidak mahu datuk tuanya itu terkial-kial sendirian menanggung segala penderitaan yang dialami.
5. Seorang kanak-kanak yang periang dan mempunyai dua orang kawan iaitu Utih dan Nana.
6. Seorang kanak-kanak yang tidak pernah merasai kesenangan hidup. Contohnya, Sumi tidak pernah merasai kesenangan hidup lantaran ibu bapanya yang membuangnya di tong sampah dan kini, hidup bergantung dengan datuk tuanya yang lemah dan tidak mempunyai apa-apa iaitu mencari rezeki dengan hanya mengemis.




LATAR
(a) Latar Tempat
1. Bandar raya Kuala Lumpur
2. Kaki lima – tempat datuk tua meminta sedekah.
3. Gubuk buruk di kawasan rumah setinggan – tempat datuk tua dan Sumi tinggal.

(b) Latar Masa
1. Waktu tengah hari – keadaan terik panas yang dilalui oleh datuk tua semasa mengemis di jalanan.
2. Waktu sore/petang -
3. 5 tahun yang lalu – Datuk tua menjumpai bayi yang berbalut dengan lampin di tong sampah .
4. 20 tahun yang lalu – Detik permulaan datuk tua memulakan kehidupan sebagai seorang peminta sedekah.


(c) Latar Masyarakat
1. Masyarakat kota yang miskin. Contohnya, datuk tua mencari rezeki untuk menyara kehidupan dengan hanya meminta sedekah. Dia dan Sumi tinggal di kawasan setinggan iaitu di gubuk buruk tebing sungai.
2. Masyarakat tua yang gigih. Contohnya, datuk tua yang sudah berusia menjangkau 100 tahun dan sudah bongkok masih meneruskan kehidupan mencari rezeki dengan mengemis di jalanan walaupun sudah teramat tua.
3. Masyarakat kota yang murah hati dan berbelas kasihan. Contohnya, masih terdapat segelintir warga kota yang simpati dan bermurah hati dengan memberi sedekah kepada datuk tua.
4. Masyarakat yang penyayang. Contohnya, datuk tua menyayangi Sumi dengan menjaganya dengan penuh kasih sayang seperti anak kandungnya sendiri.
5. Masyarakat yang tidak bertanggungjawab dan berperikemanusiaan. Contohnya, ibu bapa Sumi mewakili masyarakat yang tidak bertanggungjawab dan berperikemanusiaan kerana membuang anak di tong sampah.
6. Masyarakat yang jahil tentang agama. Contohnya, perbuatan ibu bapa Sumi yang membuangnya di tong sampah memperlihatkan kurangnya nilai agama dalam diri sehingga sanggup membuang darah daging sendiri.
7. Masyarakat kota yang sentiasa sibuk. Contohnya, setiap hari masyarakat kota di Kuala Lumpur digambarkan sentiasa sibuk dengan hal dan pekerjaan masing-masing.
8. Masyarakat kota yang terabai dari segi kebajikan. Contohnya, datuk tua dalam keadaannya yang sudah menjangkau usia 100 tahun masih merempat di kota Kuala Lumpur mencari rezeki dengan meminta sedekah tanpa ada bantuan daripada mana-mana pihak untuk menempatkannya di rumah-rumah kebajikan orang-orang tua.


TEKNIK PENCERITAAN
1. Pemerian
- Tatapannya merenung kejauhan lalu menembusi kenderaan dan derap langkah kaki warga kota yang lewat di hadapannya. Pun ketika ada dentingan syiling yang terlontar di dalam tin susunya, tatapannya itu tetap tidak berubah. Getir dan penuh penderitaan, membayangkan warna hidupnya. (MS 93)

- Datuk tua bersama Sumi berjalan perlahan-lahan beredar. Tidak dihiraukannya lagi kebisingan itu. Tidak dipedulikan lagi jeritan-jeritan memilukan. Baginya semua itu sudah tidak bererti. Bumi Allah ini luas. Dia yakin itu. Untuk sekian lamanya, tiba-tiba bibir itu mengorak senyum. (MS 101)

2. Imbas Muka/ Flashforward
- Datuk tua sedang merenung dan berfikir untuk mencari jalan penyelesaian bagi masalah yang sedang bersarang dalam kepala. Dia merasakan petang itu merupakan petang bagi segala masalah. (MS 94)

- Datuk tua mengharapkan apabila Sumi sudah melalui peringkat kedewasaan, dia dapat hidup sebagai anak merdeka dan berasa bangga hidup di atas bumi. (MS 97)

3. Imbas kembali / Flasback
- Datuk tua teringat akan kedatangan lelaki-lelaki asing yang memakai kemeja dan tali leher dengan cara jalan yang begitu gagah di kawasan deretan gubuk-gubuk buruk mereka di tebing sungai. (MS 94-95)

- Datuk tua teringat akan peristiwa dia menjumpai Sumi yang masih bayi di dalam tong sampah dengan hanya berbalut lampin buruk. (MS 96)

- Datuk tua teringat akan Sumi yang sudah pandai merajuk dan bertanya tentang ayah dan ibunya kandungnya. (MS 97)

- Datuk tua teringat akan Sumi yang sudah tiga hari terbaring di tikar mengkuang lusuh kerana sakit. (MS 97)

- Datuk tua teringat akan pesanan Sumi yang menyuruhnya balik cepat pada hari itu. (MS 99)

4. Dialog
- “Tanah ni tanah kerajaan, pak cik. Di tapak tanah ni akan dibina bangunan lapan puluh tingkat.”
            “Tapi encik…”
            “Tak ada tapi-tapinya lagi. Kalau saya kata pindah, pindah!”  (MS 95)

5. Monolog dalaman
- Dia bertanya kepada dirinya lagi. Di manakah peri kemanusiaan warga kota? Di manakah keadilan yang selalu dilaung-laungkan? Dia tidak tahu. Dia juga tidak tahu di manakah haknya sebagai warga kota yang bernaung di bumi merdeka? Mana? Mana? Hatinya menjerit. (MS 96)
- Mungkin ada rezeki lebih hari ini Sumi. Nanti tuk belikan limau. Hatinya berbicara. (MS 97)

6. Monolog
- “Tunggu ya cu, tuk pulang ni!” Dia berbisik sendirian. (MS 99)

7. Suspen
- Langkahnya semakin cepat. Sesekali dia tersepak batu-batu di jalanan. Semakin hampir ke tempat itu semakin kuat bunyi buldozer dan semakin lemah tubuh tuanya. Langkahnya mati tiba-tiba. (MS 99)



NILAI MURNI
1. Kasih sayang. Contohnya, datuk tua menyayangi Sumi dengan menjaganya dengan penuh kasih sayang seperti anak kandungnya sendiri.
2. Pemurah. Contohnya, segelintir warga kota simpati dengan kesusahan yang dialami oleh datuk tua dengan bermurah hati menghulurkan sedekah.
3. Tabah. Contohnya, datuk tua tabah menghadapi dugaan hidup walaupun terpaksa bergelut dengan penderitaan hidup.
4. Kesyukuran. Contohnya, datuk tua sentiasa bersyukur dengan rezeki yang diterimanya hasil daripada meminta sedekah daripada orang lain.
5. Gigih. Contohnya, datuk tua yang telah berusia hampir 100 tahun dan bongkok pula masih gigih dalam mencari rezeki demi meneruskan hidupnya dan cucu kesayangannya walaupun pekerjaannya itu hanya mengemis di jalanan.
6. Bertanggungjawab. Contohnya, datuk tua telah menunaikan tanggungjawab dengan menjaga dan membesarkan Sumi  yang telah dibuang oleh ibu bapanya di tong sampah.

AMANAT DAN PENGAJARAN
1. Kita hendaklah tabah menghadapi dugaan dan takdir hidup.
2. Kita perlulah gigih berusaha dalam melakukan sesuatu pekerjaan.
3. Kita mestilah bertimbang rasa dan mempunyai belas kasihan terhadap kesusahan orang lain.
4. Kita haruslah bertanggungjawab terhadap segala perbuatan dan tindakan kita.
5. Kita haruslah sentiasa bersyukur kepada Tuhan untuk setiap rezeki yang diberikan kepada kita.
6. kita hendaklah memberi kasih sayang yang baik terhadap anak-anak.


GAYA BAHASA
1. Metafora
- Getir dan penuh penderitaan, membayangkan warna hidupnya. (MS 93)

2. Simile
- Hitam seperti malam. (MS 93)
- Hatinya bagai digamit untuk melangkah pantas. (MS 99)

3. Penggunaan bahasa asing.
- Alhamdullilah. (MS 94)
- Sore. (MS 97)
- buldozer. (MS 99)

4. Retoris
- Di manakah peri kemanusiaan warga kota? Di manakah keadilan yang selalu dilaung-laungkan? Dia tidak tahu. Dia juga tidak tahu di manakah haknya sebagai warga kota yang bernaung di bumi merdeka? Mana? Mana? (MS 96)

5. Repitisi anafora.
- Terbelelenggu oleh kemiskinan. Terbelenggu dengan undang-undang dunia ciptaan manusia yang tidak berhati perut. (MS 95)
- Tidak ada susu. Tidak ada kopi. (MS 96)
- Sudah pandai menanya. Sudah pandai merajuk. (MS 97)

6. Paradoks.
- Siang ialah malam. Malam ialah siang. (MS 97)

7. Personifikasi.
- Hatinya menjerit. (MS 96)
8. Singkop.
- “Tak ada tapi-tapinya lagi. Kalau saya kata pindah, pindah!” (MS 95)
- “Balik cepat ya tuk, Sumi takut.” (MS 99)

9. Hiperbola.
- Mengalir air mata darah
- Matahari jam dua belas tegak di atas kepala, memanah mata tua. (MS 94)

No comments:

Post a Comment